Saturday, January 14, 2012

Mencari Kasih

BAB 1

Dia memang seorang penulis yang hebat. Bagi Harliyana, membaca novel itu untuk yang ke berapa kali pun pasti tidak akan jemu. Angan-angannya suatu hari nanti dia dapat berjumpa dengan si sang penulis novel itu. Novel berjudul ‘Mencari Tuhan’ diletakkan diatas meja apabila maknya memanggil. Bak kata Mak Su, baca novel ini ibarat virus. Kalau sudah baca susah untuk berhenti. Kadang mata yang mengantuk pun jadi segar. Yana selalu kena perli dengan Cikgu Walid, bila novel ada di tangan perkara lain dilupakan. Ah, orang yang tidak membaca novel memang tidak akan pernah faham.

“ Mak panggil Yana ke?”

“Nak hujan kat luar tu. Pergi angkat kain baju tu, nanti basah. Kamu ni, kalau sudah baca novel lupa sekeliling”.

Ya, awan hitam menutupi langit. Bila- bila masa saja hujan akan turun. Cepat-cepat Yana keluar mengangkat kain baju. Kain baju yang diangkat dimasukkan ke dalam bakul kemudian diletakkan ditepi pintu ruang tengah antara dapur dan ruang tamu. Mak Leha yang nampak akan perkara itu menggelengkan kepala.

“ Kenapa letak disitu? Kan senang kalau Yana lipat terus, masuk dalam bilik”. Mak Leha memang tahu sangat perangai anaknya yang satu ni. Bab yang berkaitan dengan baju memang malas sungguh. Yana memang tidak gemar dengan kain baju. Bukan tidak gemar apa, katanya kalau sudah basuh baju nanti nak kena melipat pula, kemudian gosok. Bila pakai, nanti kena basuh, lepas tu sidai. Hari-hari macam itu. Penat!

“Kalau malas melipat tak payah pakai baju lagi. Pergi petik daun buat baju. Boleh pakai buang. Umur dah meningkat tapi perangai tak ubah-ubah”. Sambung Mak Leha lagi.

“Ya. Yana lipat lah ni. Siapa cakap perangai Yana tak berubah. Ok, Yana lipat baju Yana aje?”.

“Yana…..” Suara Mak Leha ditekankan. Geram melihat anaknya yang seorang ni.

“Hehe… alah mak ni Yana gurau lah. Tak kan lah Yana macam tu”.

Ibu kepada 4 orang anak itu kembali ke dapur. Ubi yang direbus tadi sudah hampir empuk. Sambal tumis yang sudah masak sebagai pencicah ubi rebus itu diletakkan diatas meja. Hujan-hujan macam ini memang sedap makan ubi rebus cicah sambal tumis. Mak Leha melihat jam. Hampir jam 5.00 petang. Sebentar lagi suaminya pulang dari Masjid. Air kopi perlu dibancuh. Suaminya seorang cikgu pencen. Walaupun sudah pencen orang kampung tetap memanggilnya gelaran Cikgu Walid. Apabila sudah pencen masa Cikgu Walid banyak dihabiskan di Masjid atas itu juga dia dilantik menjadi AJK Masjid Kampung Talang.

“ Mesti sedap sambal tumis ni. Dari luar lagi abang dah bau”. Cikgu Walid menyapa.

“Eh abang dah balik. Tak perasan Leha”. Kaget Mak Leha. Suaminya sudah pulang. Mak Leha mencium tangan suaminya. Cikgu Walid membalas dengan kucupan didahi. Begitulah selalu. Walaupun sudah menjadi pasangan lebih 30 tahun, namun masih lagi romantis.

“Oh, abang duduklah dulu. Leha siapkan air”.

“Yana, mari sini makan sekali. Sambung lipat kain tu nanti”. Panggil Cikgu Walid. Memang tadi dia nampak Yana sedang khusyuk melipat kain. Ayahnya pulang pun tak perasan.

‘Eh ayah dah balik?’ tak perasan pun’. Desis hatinya.

“Kejap ayah. Tinggal sikit lagi”. Laung Yana.

“Bila Farah balik Leha? Minggu depan dah cuti sekolah”.

“Hari Selasa Bang. Katanya Isnin tu ada jamuan makan-makan”.

“Tiket bas dah beli?”.

“Sudah. Bas pukul 10pagi. Nanti minta abang jemput Farah kat Terminal”.

“Hmm… nanti abang jemput. Leha ingatkan abang, takut terlupa”. Farah anak mereka yang bongsu. Baru selesai menduduki peperiksaan SPM. Tak banyak barang yang dibawa pulang. Buku-buku rujukan Farah sudah pun dijual kepada junior-junior sekolah manakala baju-baju pun sudah dibawa pulang semasa cuti sekolah. Sebab itu Farah kata tak perlu ambil dia di asrama. Nasib baik Melaka dan Muar tidak lah jauh mana.

“Hmmm… sedapnya bau”. Yana menghampiri meja makan. Terliur dia melihat ubi rebus yang masih panas.

“Hm, mari makan”. Ujar Cikgu Walid.

“Mak ambilkan untuk Yana”. Pinta Yana sambil tersenyum sumbing.

“Eh, budak bertuah ni, patut dia lah yang ambilkan untuk mak. Ni mak pulak yang kena”. Mak Leha sudah menggelengkan kepala.

“Alah, bukan selalu nak manja-manja dengan mak. Nanti Farah dah balik, Yana tak dapat manja-manja lagi”.

“Hm, macam-macam. Macamlah mak ni sayang anak pilih-pilih’. Mak Leha meletakan sambal diatas ubi panas itu dan kemudian dihulur pinggan itu kepada Yana.

“Kamu cuti sampai bila Yana?”. Cikgu Walid bertanya.

“Lepas krismas nanti Yana masuk semester baru. Seronoknya, tinggal satu semester lagi. Lepas tu boleh rehat-rehat. Nanti Yana dah puas rehat. Baru cari kerja. Yana ingat nak kerja dengan Pak Su dulu lah. Jaga kedai kek dulu. Cari pengalaman, lepas tu baru cari kerja yang sesuai dengan kelayakan Yana.”. Yana yang belajar jurusan pengurusan perniagaan di sebuah universiti di utara Malaysia masih tinggal satu semester lagi.

“Apa pulak macam tu?” Sanggah Cikgu Walid.

“Takkan kamu nak jaga kedai? Belajar tinggi-tinggi tapi nak jaga kedai.”. Sambung Cikgu Walid lagi. Mak Leha hanya memerhati perbualan mereka.

“Bukan macam tu ayah, Yana nak cari pengalaman dulu. Lepas tu barulah cari kerja yang betul-betul”. Yana cuba menjelaskan.

“Ayah tahu, tapi kenapa pulak nak jaga kedai. Kalau pun nak cari kerja sementara, carilah kerja yang sama aliran bidang yang kamu belajar”.

“Tak apalah bang, kerja dengan Pak Su dan Mak Su dia juga. Bukan dengan orang lain. Lagipun ni hanya cadangan bukannya betul-betul”. Gembira Yana, apabila mak menyebelahinya. Sayang mak!

Cikgu Walid hanya diam. Malas hendak berbahas lagi. Yana tersenyum sumbing.

“Jadi Faiz balik hari ini?” Tanya Cikgu Walid mengubah topik lain.

Faiz anak mereka yang sulung. Umurnya sudah menginjak ke 30 tahun. Tetapi masih lagi mengejar impian. Puas sudah Mak Leha berleter entah bila dia akan mendapat menantu. Namun leteran Mak Leha langsung tidak memberi kesan pada Faiz. Ibarat masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Mungkin jodohnya belum lagi ditemukan. Siapa tahu urusan Tuhan….

“Jadi, kejap lagi sampai lah tu. Balik dengan Khalida sekali”.

“Jarang balik bersama dua beradik tu. Selalunya seorang balik seorang lagi tidak”. Ujar Cikgu Walid.

“Bagus lah tu bang, jarang keluarga kita dapat bersama. Bila dah besar-besar ni, semua buat hal masing-masing. Nak berjumpa pun susah”. Balas Mak Leha.

Pagi tadi Khalida anak perempuan kedua pasangan tersebut ada menelefon. Suka Mak Leha apabila Khalida memberi tahu yang dia akan pulang. Lama juga Khalida tidak pulang. Tuntutan kerja yang memaksa Khalida sentiasa outstation membuatkan dia susah untuk pulang ke kampung. Lagi gembira apabila katanya akan pulang bersama Faiz.

“Kalau tahu peranan sebagai anak, mesti tahu nak mencari masa”. Ujar Cikgu Walid. Kedengaran seperti berkecil hati. Anak-anak mereka jarang pulang ke kampung. Sedangkan Kuala Lumpur dan Melaka tidaklah jauh mana.

Yana hanya diam mendengar dan menjadi pemerhati. Dia tidak mahu menambah atau menyampuk perbualan mereka. Takut tersalah cakap pula. Lagipun dia juga tidak tahu adakah nanti dia akan begitu.

****

“Soalan Lida Abang Faiz tak jawab pun”.

“Soalan yang mana pulak?”. Faiz pura-pura tidak tahu. Kalau boleh tunggu sampai dikampung baru dia nak bercerita. Senang sekali cerita. Tak perlu nak ulang-ulang.

“Soalan kenapa Abang tetiba ajak Lida balik. Hari Isnin depan Lida ada paperwork nak kena hantar tau. Tak siap lagi ni. Tapi sebab abang dah beria-ria ajak balik kampung, Lida terpaksa ikut”.

“Alah, Lida kan dah lama tak balik kampung. Tahu tak mak dengan ayah tu kecil hati tau. Jumpa mak ayah pun nak berkira”.

“Bukan berkira. Alah abang pun bukan selalu balik. Macamlah Lida tak tahu. Lida tak balik pun tapi Lida selalu call mak tau. Lepas tu kata duduk je sama kat KL tapi adik sendiri pun jarang nak jenguk. Paku dulang paku sepih…”.

“Eh, abang lain…” Dalih Faiz.

“Hmm.. yelah tu…”. Malas hendak melayan abangnya yang seorang ni. Kuat sangat berkerja.

Mereka sudah sampai di pekan Masjid Tanah. Sekejap lagi sampailah di Kampung Talang. Hati Khalida sudah teruja, Sudah dua bulan lebih tidak pulang. Ah…. Pasti mak dan ayah akan membebel dahulu, tapi Lida tahu mak dan ayah sayangkan anak –anaknya.

Malam itu selesai makan bersama mereka sekeluarga menonton televisyen. Hati Mak Leha sayu bercampur gembira. Rasanya sudah lama mereka tidak berkumpul bersama. Kalau Farah ada tentu keluarga Cikgu Walid tampak lagi sempurna.

Faiz masih berkira sama ada mahu meluahkan hajat dihati atau pun tidak. Tetapi inilah masa yang terbaik dirasakan. Faiz yakin ibu bapanya akan gembira mendengar hal ini.

“Mak, ayah Faiz ada sesuatu nak bincang”. Perlahan-lahan Faiz memulakan bicara. Rasanya pembentangan di tempat kerja tidaklah sesukar perkara yang ingin disampaikan ini. Dia sudah tekad, tambahan pula petunjuk Allah sudah diterima.

Semua mata kearah Faiz. “Apa dia?”. Tanya Mak Leha.

“Faiz rasa sudah bersedia untuk berdua dan sudah masanya mak dan ayah menerima menantu”. Akhirnya terucap juga apa yang tersarat dihati. Faiz bab-bab begini memang fail. Tiba-tiba dia jadi malu apabila Yana dan Lida terlopong mendengar. Mak dan ayah bagai tidak percaya.

“Biar benar kau ni Faiz? Ribut tak ada hujan pun tak ada tiba-tiba nak kahwin”. Mak Leha antara percaya dengan tidak. Biar benar si Faiz ni, selama ni aku sibuk membebel langsung tidak dihiraukannya.

“Betul mak”. Jawab Faiz pendek.

“Kalau betul, siapa orangnya?”. Ujar Cikgu Walid tenang. Disudut hati dia mengucapkan Alhamdulillah. Akhirnya anaknya akan berkahwin.

“Aisyah namanya ayah. Dia kerja guru taska. Faiz kenal pun sebab taska tu dekat dengan rumah Faiz”. Faiz menceritakan perkenalannya dengan Aisyah.

Yana dan Lida penuh minat. Akhirnya abangnya akan berkahwin! Terujanya!

“Berapa lama dah kenal?” Tanya Mak Leha. Serius.

“Sebenarnya Faiz kenal-kenal macam tu je. Faiz ada lah tanya sikit-sikit pasal dia kat cikgu lain disitu. Tu yang tau nama dia Aisyah. Dia baru saja mengajar kat taska tu”. Jawab Faiz jujur. Faiz sudah gila bayang. Diikutkan, Faiz tak pernah pun bercakap dengan Aisyah. Sedikit latar belakang Aisyah dikorek dari cikgu lain disitu.

Lida dan Yana berpandangan. Gila ke abang Faiz ni. Kenal pun tidak terus suka. Love at the first sight?

“Faiz, ingat nak minta mak dan ayah pergi merisik dan kalau setuju terus tunang”. Tambah Faiz lagi. Kali ini tampak yakin.

“Faiz, hal tunang , nikah kahwin ni bukan hal main-main tau. Mak nak tanya, kamu dah fakir masak-masak ke?” Mak Leha mencari kepastian. Memanglah dia beria-ria hendakkan menantu, tapi dia tak nak lah nanti anaknya salah memilih. Dari cerita ni, Faiz macam main tangkap muat je.

“Sudah mak. Inilah keputusan Faiz”. Titik. Keputusan Faiz sudah bulat.

“Kalau macam itu, biarlah kita datang beradat. Kita tanya apa pulak kata pihak sana”. Cikgu Walid yang sedari tadi diam mencelah. Kalau sudah itu keputusan anaknya, perlukah dia membantah. Cikgu Walid yakin dengan keputusan Faiz.

Mak Leha memandang Cikgu Walid. Bukan tidak bersetuju. Tetapi kalau boleh biarlah Faiz dan Aisyah berkenalan dahulu.

“Tak apalah maknya, dulu pun kita kahwin pun mak bapak kita yang tentukan. Saya pun masa itu tak kenal sangat dengan awak. Tapi kita boleh hidup bahagia sampai sekarang. Lagi pun kita datang nak tanya saja”. Ujar Cikgu Walid membalas pandang Mak Leha. Dari pandangan itu dia mengerti apa yang tersirat dalam fikiran Mak Leha.

Mak Leha hanya diam. Kalau itu sudah kata suaminya dia akur.

“Abang tak pernah cerita pun pasal ni”. Tanya Yana setelah Cikgu Walid dan Mak Leha masuk ke bilik. Setidak-tidaknya boleh lah aku bagi tips ke, kaunseling. Ceh… Yana, kau bercinta pun tak pernah nak bagi tips kat orang!

“Entah Abang Faiz ni, dengan kita orang pun nak berahsia. Cerita lah sikit siapa Kak Aisyah tu”. Tokok Lida seteru dengan Yana.

Faiz berpura-pura tidak mendengar dan kononnya menonton tv. Cerita yang tidak tahu hujung pangkal ditonton.

“Abang tak payah nak buat-buat tak dengar ye. Abang kena cerita jugak dengan kita orang”. Asak Yana. Abang Faiz ni bab-bab cinta malu lah tu.

“Abang mengantuklah. Nak tidur dulu lah”. Ujar Faiz seraya bangun menuju ke bilik. Dia menahan ketawa melihat telatah adik-adiknya. Ni belum campur Si Farah. Kalau tak lagi parah aku. Tak pasal-pasal kena soal siasat dengan polis-polis yang tak ada tauliah ni.

“Abang Faiz teruklah. Itu pun tak nak share! Malulah tu…” Marah Yana apabila Faiz tidak mengendahkan mereka.

“Tak apa Yana. Tahulah akak nak korek nanti”. Lida sudah merancang untuk mengorek rahsia! Itu adalah wajib.

No comments: